.
Antara cabaran besar yang dihadapi oleh mereka yang baru berjinak-jinak dengan bidang penulisan adalah ilham untuk menulis.
Bagaimana mahu mula menulis? Apa topik yang sesuai? Berapa banyak perkataan yang harus ditulis? Dan banyak lagi persoalan tentang penulisan hingga akhirnya buntu lalu langsung tidak menulis.
Jangan fikirkan hal yang rumit.
Mulakan dengan hal yang mudah.
Lihat pada diri masing-masing. Kenalpasti apa kelebihan yang anda miliki; samada kerjaya, pengalaman, bakat ataupun kemahiran dalam sesuatu perkara.
Tulis istilah-istilah yang terlibat bagi bidang tersebut.
Selepas itu, tulis serba sedikit huraian bagi istilah-istilah ini. Nah, sekarang anda sudah hampir menyiapkan satu artikel ringkas! Mudah, bukan?
Sebagai contohnya, jika saya minat berkebun, barangkali saya boleh senaraikan nama sayur-sayuran, jenis-jenis tanah, jenis-jenis baja dan sebagainya. Selepas itu saya huraikan pula setiap poin dalam senarai tersebut.
Jangan bimbang jika huraian anda tidak lengkap, tidak sempurna atau kelihatan kurang menarik untuk di baca. Jika anda membuat hantaran Blog atau Facebook Post, anda boleh sunting semula hantaran ini di kemudian waktu. Yang penting adalah anda telahpun membuat hantaran yang pertama.
Jangan pandang rendah pada artikel mudah seperti ini. Walaupun anda fikir ianya remeh dan mungkin sudah ramai pembaca tahu tentangnya, tidak mustahil masih ada lagi pembaca yang tidak tahu dan sedang bertungkus-lumus mencari artikel ini melalui Carian Google.
Ini adalah contoh bagaimana artikel saya yang ringkas bertajuk "Maksud Website" yang menduduki tempat pertama dalam senarai Carian Google.
Anda juga boleh menggunapakai idea ini bagi bidang anda. Selamat mencuba.
.
Social Plugin