Anda mungkin menyesal kemudian hari jika tak teliti tentang hal ini ....
[MEDIA] APA NAMA ANDA DALAM DUNIA ONLINE?
Terdapat berjuta-juta nama dan jenama di dalam Dunia Online. Mustahil seseorang pengguna Online boleh mengingati semuanya. Dia hanya mampu mengingati sejumlah kecil sahaja. Bagaimana sejumlah kecil nama dan jenama ini boleh kekal di ingatannya?Nama dan jenama itu akan mudah diingati orang jika ada sesuatu yang unik padanya. Ciri-ciri unik ini pelbagai. Mungkin kerana produk atau perkhidmatan yang ditawarkannya. Mungkin kerana tarikan personanya. Mungkin kerana ada pengalaman silam yang berkaitan. Mungkin kerana kepercayaan terhadap khidmat, kualiti, jaminan dan perlindungan yang ditawarkan.
Kesemua faktor ini boleh dirangkumkan sekali dan disebut sebagai profile.
Kali pertama anda masuk ke Dunia Online, anda seolah-olah seperti seorang tanpa identiti a.k.a Mr Anonymous. Tiada siapapun di kalangan pengguna online yang tahu siapa anda dalam dunia realiti dan mereka sebenarnya pun tidak pedulikan kewujudan anda.
Tetapi setelah masa berlalu dan anda ingin berhubung dengan manusia lain, anda tidak boleh lagi menjadi Mr Anonymous. Tiada majikan mahu mengambil Mr Anonymous sebagai pekerjanya. Demikian juga tiada pelanggan mahu berurusan dengan seorang Mr Anonymous.
Nama atau jenama sangat penting kerana ia menjadi pemula tarikan dan kepercayaan pengguna lain.
Daftarlah nama email yang terbaik yang boleh membantu menerangkan watak anda supaya pengguna Online mudah mengenali dan selesa berhubung dengan anda.
Contohnya ali@gmail.com , ali.tukangpaip@gmail.com, alimaju@gmail.com .
Pengguna Online lebih selesa menghantar email kepada nama-nama di atas berbanding al1@gmail.com, alivampire@gmail.com atau alibankrap@gmail.com .
Tidak dinafikan, anda berhak memilih apa sahaja nama yang anda suka dan anda juga mungkin memilih nama-nama yang aneh sebagai satu kelucuan. Namun, nama itu sangat kritikal kerana ia menjadi poin penilaian pertama pengguna Online terhadap anda. Jika anda mahu jadi usahawan atau personaliti yang berjaya, mulakan langkah anda dengan memilih nama email yang terbaik dan terhebat untuk menerangkan siapa diri anda.
Nama itu juga adalah doa, bukan?
Kebiasaannya pengguna Online akan berdaftar dengan penyedia perkhidmatan email percuma seperti Gmail, Yahoo atau Outlook.com. Jika tidak membebankan, daftarlah akaun dengan kesemua perkhidmatan ini. Ini boleh membantu mempromosikan nama anda dan pada masa yang sama boleh mengelakkan risiko impersonation terhadap anda.
Impersonation bermaksud menyamar sebagai seseorang dengan menggunakan identitinya. Contohnya seorang penyamar tahu anda adalah Ali yang memiliki akaun email ali@gmail.com. Beliau boleh menyamar sebagai anda dengan menggunakan akaun email ali@yahoo.com . Alamat ini kelihatan hampir sama dan boleh mengelirukan pengguna Online.
Penyamaran ini boleh mengundang risiko penipuan bilamana si penyamar tadi menghubungi kenalan anda supaya memberi atau meminjamkan wang. Kenalan anda, tanpa usul periksa, terus menuruti permintaannya lalu memindahkan wang ke akaun si penyamar dan berkemungkinan akan kehilangan wang tersebut.
Si penyamar juga boleh berlakon memburukkan nama baik anda sehingga majikan, pelanggan atau pihak penguasa memandang serong terhadap anda.
Jadi, daftar dan peganglah akaun-akaun ini untuk melindungi diri anda di kemudian hari.
Sepertimana disebutkan di atas, pendaftaran akaun menggunakan nama atau jenama anda adalah satu bentuk promosi. Bahkan promosi percuma sebenarnya.
Carilah platform-platform percuma dan daftar nama atau jenama anda di kesemua platform ini supaya nama atau jenama anda secara tidak langsung muncul di merata tempat dalam dunia online. Jangan lupa untuk daftar nama atau jenama anda dengan rangkaian Media Sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram dan lain-lain.
Jangan lepaskan peluang percuma untuk mempromosikan nama dan jenama anda di segenap tempat dalam Dunia Online.
Rugi jika sudah bertahun wujud atas talian tapi tidak pasang promosi percuma.
Social Plugin